m a n n s t e r

May 4, 2008

Jangan abai solat berjemaah

Filed under: Uncategorized — mannster @ 7:38 pm

Jangan abai solat berjemaah

UTUSAN:
Apakah kedudukan masjid dalam Islam dan kelebihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi?

Shaikh Ismail:
Masjid adalah tempat yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam. Ia juga adalah salah satu daripada syiar agama kita yang Maha Agung ini.Malah ada hadis yang menyebut, “bandar yang di dalamnya terdapat lebih banyak masjid daripada gedung perniagaan adalah lebih diberkati”.

Tentang Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ini, Rasulullah SAW bersabda: Pahala solat di masjidku ini adalah 1,000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat Jabir bin Abdullah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Solat di masjidku ini lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lainnya kecuali masjid Haram, dan solat di masjid Haram lebih afdal dari 100,000 solat di masjid lainnya”. (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

UTUSAN:
Dalam ayat 35 surah al-Hajj dijelaskan bahawa apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka. Bagaimana nak mencapai tahap ini?

SHAIKH ISMAIL:
Ini adalah antara ciri tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di akhirat kelak.

Orang yang sentiasa menunggu-nunggu waktu solat yang akan datang setiap kali selepas selesai solat.Untuk mencapai tahap begini, ia perlukan kepada didikan dan asuhan sejak kecil. Dalam hal ini, peranan ibu bapa sangat penting. Anak-anak hendaklah sentiasa dididik melalui pendekatan dakwah bil hal iaitu melalui contoh oleh ibu bapa.

Jika ke masjid jangan lupa bawa bersama anak-anak. Kerah mereka jangan pula hanya ibu bapa ke masjid anak-anak dibiarkan di rumah.
Kalau di sekolah, guru-guru boleh memainkan peranan. Wajibkan mereka solat berjemaah di surau atau masjid di institusi pengajian tinggi pun serupa. Lagipun, mereka yang berjaya selalunya adalah golongan yang istiqamah dalam ibadat terutama solat berjemaah.

Didikan yang berterusan pada usia kanak-kanak selalunya berjaya memupuk budaya cintakan masjid. Sebab itu, ada kejayaan sekolah-sekolah berasrama dalam membentuk remaja yang kekal solat berjemaah di masjid atau surau.

UTUSAN:
Salah satu perkara yang terus menjadi perbahasan ialah mengasingkan kanak-kanak daripada bapa semasa solat. Ini adakalanya menjadi penghalang proses mentarbiah anak-anak ke masjid. Apakah pendekatan terbaik dalam hal ini?

SHAIKH ISMAIL:
Kaedah fikah telah menetapkan kedudukan saf dalam berjemaah iaitu lelaki, kanak-kanak dan kemudian wanita. Ini bermakna kita mengalu-alukan kanak-kanak datang berjemaah.

Ibu bapa pula perlu memberi nasihat kepada anak masing-masing supaya menjaga adab dan disiplin di masjid agar tidak mengganggu jemaah lain beribadat. Barangkali umur paling sesuai membawa anak ke masjid ialah 7 tahun sebagai mana hadis Rasulullah yang menyuruh ajarkan anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun.

Kalau masih terlalu kecil, elok mereka dilatih di rumah dahulu tentang adab solat berjemaah dan tidak bising semasa kita solat.

Kita sentiasa mengalu-alukan ibu bapa yang membawa anak-anak yang sudah diasuh tentang adab dan tingkah laku berada di majlis. Apa yang menjadi masalah kepada para pegawai masjid ialah sikap sebilangan ibu bapa yang lepas tangan dan biarkan sahaja anak mereka berlari-lari membuat bising di masjid.

Banyak masjid kini menyediakan pelbagai program ilmu sama ada fardu ain atau fardu kifayah. Malah kita juga suka kalau anak-anak datang bermain di kawasan masjid seperti main bola, sepak takraw. Cuma mereka mestilah menutup aurat dan apabila masuk waktu solat hendaklah sama-sama tunaikan solat secara berjemaah.

Pendekatan sebegini lama-kelamaan akan menarik mereka sentiasa mahu berdamping dengan rumah Allah dan bukannya menjauhkan diri daripada masjid.

Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda, Dan dari Aisyah r.a ia berkata, Saya melihat Rasulullah menutupi saya waktu saya melihat orang Habsyah bermain (pedang) di masjid. (riwayat Bukhari dan Muslim)

UTUSAN:
Kalau kita lihat di Masjidil Haram atau Nabawi, jemaah boleh beriktikaf malah tidur di dalamnya. Adakah jika masjid-masjid kita turut membenarkan perbuatan ini boleh menarik lebih ramai mengunjunginya?

SHAIKH ISMAIL:
Masjid di negara kita pun memang benarkan tidur untuk beriktikaf. Cuma jangan sampai ada yang mengambil kesempatan disebabkan contohnya ada pendingin hawa maka dia datang ke masjid lalu tidur.

Kita suka kalau ramai yang beriktikaf di masjid, baca al-Quran dan tunaikan solat-solat sunat setidak-tidaknya tahiyatul masjid. Itu memang bagus.

Lagipun di Masjid Negara ini kita sentiasa menerima lawatan pelancong, jadi kalau umat Islam sentiasa ramai yang beriktikaf dan solat tahiyatul masjid, barulah ada adab berada di rumah Allah.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, Apabila seseorang di antara kamu masuk ke masjid, maka janganlah ia duduk sebelum ia solat dua rakaat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

UTUSAN:
Bolehkah datuk jelaskan ayat 18 surah at-Taubah Allah jelaskan kriteria orang yang memakmurkan masjid?

SHAIKH ISMAIL:
Ayat itu bermaksud, Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), mudah-mudahan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (at-Taubah: 18 )

Antara faktor yang boleh mencapai tahap ini ialah menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau. Solat berjemaah juga menjadikan kita lebih peka kepada rakan-rakan. Contohnya, apabila ada di antara rakan yang tidak hadir berjemaah maka kita akan bertanya di manakah beliau, adakah sihat atau sakit dan sebagainya.

Cuma yang nak saya sebutkan di sini ialah majoriti umat Islam di negara kita menunaikan solat. Apa yang kurang diamalkan ialah solat berjemaah. Kita sering lihat orang Islam solat di pasar raya semasa membeli-belah, di kawasan rehat dan rawat lebuh raya dan juga di lapangan terbang.

Sayangnya, mereka pilih untuk solat bersendirian sedangkan solat berjemaah itu pahalanya 27 kali ganda berbanding solat sendirian. Tambahan pula, solat berjemaah itu hukumnya fardu kifayah.

Kalau kita lihat masyarakat Islam dahulu, mereka berkorban untuk mengimarahkan masjid dan surau. Masjid dahulu kedudukannya agak jauh dari rumah dan hanya menggunakan pelita atau lampu ayam. Orang tua-tua dahulu pun majoritinya tidak mempunyai kenderaan tetapi mereka tetap berusaha datang berjemaah.

Kini majoriti kita lebih mewah berbanding masyarakat dulu. Masing-masing mempunyai kenderaan baik motosikal atau kereta. Jadi, tiada alasan untuk kita tidak ke masjid solat berjemaah. Malah, Allah juga telah berjanji bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk jalan-Nya akan diganti.

Lagipun, kalau bersendirian, adakalanya datang rasa malas untuk solat pada awal waktu. Sebaliknya apabila berjemaah bukan sahaja kita solat di awal waktu tetapi kita juga lebih khusyuk. Selepas solat, kita boleh pula melakukan ibadat sunat yang lain seperti solat sunat atau membaca al-Quran.

Sumber

iu_melaka

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: